Thursday, August 14, 2008

Wajah Baru Strategi Lama!

berdasarkan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2 Ogos 2008 yang dianggap oleh banyak pihak sebagai satu langkah mengundur. Pertamanya isu pembekuan pemain import pada saingan musim 2009. Walaupun FAM mengatakan pemain import yang ada tidak banyak membantu kepada perkembangan pemain tempatan tetapi, bagaimana persatuan bola sepak negeri memanfaatkan kehadiran pemain import yang harus dipersoalkan. FAM boleh melihat bagaimana pasukan Negeri Kedah memanfaatkan kehadiran import dalam pasukan mereka.

Soal kos penggajian pemain import turut menjadi faktor FAM melakukan keputusan tersebut, pada saya apa salahnya pasukan yang ada kemampuan kewangan terus menggunakan pemain import. Ada mekanisme tertentu yang FAM boleh tetapkan antaranya pasukan negeri yang mahu mengambil pemain import harus mengemukakan jaminan bank amaun untuk pembayaran gaji import tersebut untuk setahun. FAM haruslah mendidik persatuan negeri agar ‘ukur di baju sendiri’ dan bijak menilai pemain import sebelum mengambil pemain import.

Saya yakin tanpa kehadiran pemain import, liga kita akan semakin suram dan kita boleh lihat bagaimana liga-liga terkemuka dunia juga membenarkan pemain import. Mengapakah kita bertindak seolah-olah formula kita lebih hebat. Saya tidak mahu melihat FAM diketawakan sekali lagi seperti mana tahun 1998 dahulu dan akhirnya ditarik balik setelah FAM menyedari ia satu kesilapan tanpa kehadiran pemain import.

Satu lagi aspek ialah keputusan FAM untuk mengadakan perlawanan pada hari Ahad dan Rabu. Bagi saya seharusnya Hari Sabtu dijadikan hari perlawanan kerana ia akan menyusahkan ramai peminat terutama di negeri yang cuti mingguan mereka pada hari Jumaat dan Sabtu. Contohnya penyokong pasukan Kedah yang terpaksa datang dari Kulim dan Baling terpaksa mengambil masa lebih kurang dua jam perjalanan dan jika ia dilangsungkan pada hari bekerja, maka ia amat menyusahkan kerana dengan komitmen kepada keluarga seperti mengambil anak pulang dari sekolah, ternyata amat membebankan dan boleh mengurangkan kehadiran peminat ke Stadium.

FAM beranggapan ia adalah untuk mengelak persaingan dengan siaran langsung bolasepak antarabangsa dan rancangan realiti televisyen tetapi sebenarnya jika FAM mampu mengubah imej bola sepak tempatan, ia tidak akan menjejaskan kehadiran penonton ke stadium. Sekali lagi saya membawa contoh penyokong bola sepak Kedah. FAM harus belajar daripada saranan-saranan yang pernah dikemukakan oleh Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil yang telah mencorakkan imej bola sepak Kedah.

Masih belum terlambat untuk FAM memperbetulkan kesilapan yang dilakukan dan saya yakin jika dilakukan undian di kalangan peminat bola sepak tempatan, ramai yang akan berpandangan sebaliknya daripada pandangan FAM. Usah biarkan bola sepak kita terus berduka. Itulah Wajah baru, strategi lama.


http://mysoccer.kaopehkaobu.com/2008/08/03/tiada-lagi-pemain-import/

No comments: