Wednesday, August 13, 2008

'Siti' dan 'Fatimah' di Beijing

antara berita menarik dari Olimpik Beijing di Utusan Malaysia yang saya baca ialah mengenai 'Siti' dan 'Fatimah' iaitu jurubahasa-jurubahasa bahasa Melayu yang disediakan untuk pasukan Malaysia.

'Siti' dan 'Fatimah' ini bertutur dalam bahasa Malaysia bertaraf paling tinggi dengan susunan ayat dan nahunya.

Menariknya, Siti dan Fatimah ini bukan orang Melayu yang bekerja atau bermastautin di Beijing tetapi sebenarnya penuntut-penuntut pengajian bahasa di universiti yang dilatih khas untuk semua bahasa selama pesta Olimpik ini.

Di televisyen baru-baru ini kelihatan seorang anggota polis Beijing yang menjalani latihan khas untuk meneka bangsa dan bahasa pelawat ke Olimpik dan dia boleh bertutur lebih 10 bahasa asing.

Saya berani menyatakan khidmat Siti dan Fatimah jarang digunakan oleh pegawai dan ahli sukan Malaysia keturunan Cina kerana mereka tentu lebih selesa berbahasa Mandarin apatah lagi bahasa Malaysia mereka pun tidak sampai ke mana.

Di iklan-iklan televisyen, ahli-ahli sukan Malaysia bukan Melayu yang menyatakan kebanggaan mereka mewakili Malaysia kelihatan tidak selesa langsung menggunakan Bahasa Kebangsaan tetapi lebih selesa berbahasa Inggeris dan Mandarin.

Bagaimanapun, 'tanah air' ahli-ahli sukan yang kurang fasih berbahasa Malaysia ini terus mencurahkan wang yang begitu banyak untuk latihan dan hadiah-hadiah wang yang besar kalau mereka berjaya merangkul kejayaan.

Selain daripada menggunakan Olimpik Beijing 2008 yang dimulakan pada 8 Ogos lalu diharapkan membawa tuah kepada China dalam usaha baru nya untuk mengambil tempat yang lebih tinggi di persada politik dan ekonomi antarabangsa, Olimpik Beijing juga terus mendaulatkan Bahasa Mandarin.

Pemimpin-pemimpin China seperti Presiden Hu Jintao tetap mendaulatkan Mandarin di semua majlis Olimpik diikuti dengan bahasa-bahasa lain.

Kita percaya kebanyakan pemimpin dan para teknokrat China boleh berbahasa lain tetapi mereka tidak ghairah hendak menunjuk-nunjuk seperti pemimpin dan rakyat Malaysia yang sudah pun menjadikan bahasa Inggeris seperti bahasa ibunda mereka, kadang-kadang bahasa Inggeris yang digunakan pun bahasa Inggeris 'tidak betul'.

Kalau ditinjau di kem-kem Indonesia dan Thailand di Olimpik, para pegawai dan peserta Malaysia akan mendapati kesemuanya termasuk yang berketurunan China tetap berbahasa Indonesia dan Thai dengan bangganya dan akan menggunakan jurubahasa-jurubahasa Olimpik dengan sepenuh-penuhnya.

Itulah nasib Bahasa Kebangsaan.

No comments: