Friday, September 12, 2008

berbudi dan berbahasa

SEBAGAI rakyat Malaysia, kita seharusnya memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan kempen budi bahasa dan nilai-nilai murni.

Kempen ini dirasakan perlu berdasarkan kemerosotan nilai-nilai murni dan kurangnya budi bahasa di kalangan sebilangan rakyat Malaysia.

Sifat biadab dan tidak berbudi bahasa di kalangan rakyat dapat dilihat pada cara mereka berkelakuan di tempat awam dan juga di jalan raya.

Sikap tidak bertimbang rasa merupakan perkara biasa yang dapat dilihat pada cara pemanduan dan cara meletak kereta di jalan raya, memandu ke dalam kawasan kotak kuning; meletak kenderaan di mana terletaknya pili bomba; membuang sampah di tempat awam; merosakkan harta awam; memotong barisan dan tidak memohon maaf apabila melakukan kesilapan.

Isu lain juga termasuk bercakap secara kasar dengan pelanggan; merokok di kawasan larangan merokok; meludah di tempat awam dan tidak memberikan tempat duduk kepada warga tua, kurang upaya dan juga wanita hamil. Terdapat juga banyak isu lain yang boleh disenaraikan dan hal ini adalah berlarutan.

Tepat pada masanya bagi rakyat untuk menangani isu ini dan bertanyakan pada diri sendiri sejauh mana mereka mengamalkan sikap berbudi bahasa dan nilai-nilai murni tersebut.

Menganjurkan kempen mempromosi budi bahasa dan nilai-nilai murni ini adalah penting tetapi apa yang lebih penting ialah untuk menjadikan budi bahasa dan nilai-nilai murni yang telah dilancarkan itu sebagai suatu amalan harian.

Kepimpinan melalui teladan adalah perlu dalam menjayakan kempen tersebut. Sehubungan dengan itu, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan harus memupuk nilai-nilai murni di kalangan kakitangan mereka.

Perkhidmatan awam contohnya, harus mempromosikan budi bahasa di kalangan staf di kaunter yang berurusan dengan orang awam. Bersopan dan berbudi bahasa ketika menjawab panggilan telefon dan membalas surat orang awam mesti diamalkan oleh mereka yang bertanggungjawab menjalankan tugas tersebut.

Kempen tersebut juga perlu dimulakan dengan kesedaran di bangku sekolah lagi di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni perlu diajar.

Pencapaian Wawasan 2020 hanya akan menjadi lebih bermakna sekiranya kita dapat menyemai budaya berbudi bahasa dan nilai-nilai murni di kalangan rakyat Malaysia.

No comments: