WALAUPUN gerakan senaman cross trainer nampak perlahan berbanding aktiviti lain, tidak bermakna alat ini tidak mampu memberi kesan memberangsangkan kepada tubuh.
Senaman cross trainer memberi impak rendah terhadap lutut, pergelangan kaki, pinggul dan bahagian belakang. Alat ini selamat bagi anda yang pernah menghadapi kecederaan di bahagian terbabit. Senaman menggunakan cross trainer juga membolehkan anda menyokong tubuh dengan kaki yang secara tidak langsung membina ketumpatan tulang serta menghindarkan kesan osteoperosis.
Cross trainer dikatakan mengatasi peralatan lain termasuk basikal statik, mesin dayung atau treadmill. Malah, jika anda melakukan senaman menggunakan cross trainer, kalori yang dapat dibakar lebih banyak dan lebih cepat.
Ini bermakna, senaman menggunakan cross trainer adalah pilihan bijak bagi anda yang mahu menurunkan berat badan, membentuk tubuh sambil menjaga kesihatan. Ia juga berkesan bagi individu yang ingin mengekalkan tahap kecergasan kerana alat ini mampu meningkatkan kadar degupan jantung dan memperbaiki kesihatan kardiovaskular.
Berikut dipaparkan panduan senaman cross trainer tahap lanjutan seperti yang ditunjukkan jurulatih kecergasan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd, Mohamad Izham Mohlis.
Senaman cross trainer tahap lanjutan
1. Panaskan badan (10 minit)
Tetapkan penggunaan cross trainer pada tahap tiga hingga lima dan kadar langkah seminit (strides per minute-SPM) antara 80 hingga 90. Kadar ukuran degup jantung
HRM (heart rate measurement) pula sekitar 60 peratus.
2. Senaman (30 minit ke atas)
Tetapkan penggunaan pada tahap lima hingga tujuh dan kadar SPM antara 120 hingga 140. HRM harus ditetapkan pada tahap 80 peratus ke atas.
3. Menyejukkan badan (lima minit)
Tetapkan penggunaan pada tahap satu atau dua dan kadar SPM di bawah 80 manakala HRM sekitar 50 peratus.
Info:
Bagi mesin cross trainer Star Trac, anda yang sudah bersenam pada tahap lanjutan boleh menggunakan aplikasi automatik pada peralatan ini. Ini bermakna, anda tidak perlu menetapkan kadar dan tahap seperti yang ditunjukkan sebelum ini dan sebaliknya terus memilih program sedia ada.
Ada tiga pilihan mengikut kesesuaian iaitu yang pertama, Total Body yang banyak tertumpu kepada gerakan tarik dan tolak manakala kedua, Alpine Pass yang memberi pengalaman seperti mendaki dan menuruni bukit secara sekata.
Pilihan terakhir ialah Random Hill yang memberi pengalaman mendaki dan menurun bukit secara tidak sekata.
No comments:
Post a Comment