Wednesday, August 13, 2008

Semakan harga petrol ringankan beban rakyat

Pengenalan harga runcit petrol baru bermula Jun lalu telah menjurus kepada penilaian harga yang berasaskan harga pasaran. Cadangan kerajaan menyemak harga pasaran petrol setiap bulan mungkin akan membuatkan harga petrol di Malaysia diturunkan bergantung kepada harga pasaran dunia.

Semakan ini secara langsung dapat meringankan beban rakyat dalam menghadapi musim perayaan yang akan menjelang dan pembukaan sesi persekolahan akan datang. Polisi ini mampu membawa kepada kebajikan rakyat dan mewujudkan kecekapan pengagihan sumber subsidi.

Namun, cadangan ini juga akan mewujudkan beberapa implikasi yang akan mempengaruhi corak pasaran petrol itu sendiri dan pasaran barang serta sektor perkhidmatan. Semakan harga yang dilakukan setiap bulan memungkinkan berlakunya kenaikan atau penurunan harga.

Penurunan harga sememangnya akan membantu mengurangkan beban rakyat, namun, sekiranya berlakunya kenaikan, kerajaan perlu memikirkan mekanisme sesuai bagi menangani isu kenaikan harga barang akibat kenaikan harga petrol tersebut.

Dalam menangani kesan rantaian tersebut, kementerian perlu mengawal dan memantau peniaga-peniaga yang akan mengambil kesempatan pada kenaikan tersebut.

Pada pandangan saya, kaedah semakan harga bulanan tersebut berdasarkan harga purata bulanan boleh dijadikan alat mewujudkan kecekapan pengagihan subsidi dan kecekapan penggunaan petrol berdasarkan beberapa pendekatan.

Penyelarasan harga boleh dilakukan berasaskan isian kebuk kenderaan dengan pemilik kenderaan berkuasa kecil diutamakan penerimaannya. Harga yang murah selepas semakan hanya akan dinikmati bagi pemilik kenderaan berkuasa kecil memandangkan mereka memerlukan bantuan sewajarnya.

Pemilik kenderaan berkuasa besar hanya akan menerima harga yang rendah apabila berlakunya penyelarasan harga yang besar.

Langkah dilihat mampu mewujudkan kecekapan penggunaan dalam masa yang sama mampu menstabilkan kebajikan pengguna majoriti.

Hal ini bermakna perbezaan pembayaran harga runcit dan harga pasaran oleh golongan yang mengunakan kenderaan berkuasa besar akan digunakan untuk membantu sektor yang lebih memerlukan seperti pengangkutan dan perhubungan dalam usaha mengurangkan beban kewangan dan mengawal harga perkhidmatan tersebut.

Golongan yang berpendapatan tinggi yang sinonim dengan kereta berkuasa besar dilihat mampu menyerap harga sekarang iaitu RM2.70 seliter dan golongan yang berpendapatan rendah yang mengunakan kereta berkuasa kecil lebih memerlukan semakan harga yang memihak kepada mereka.

Satu pangkalan data khas mungkin boleh diwujudkan di dalam MyKad pembeli petrol ini dengan menerangkan bilangan kenderaan yang dimilikinya.

Saya juga berpendapat penyelarasan harga ini juga dipertimbangkan mengikut bilangan kenderaan yang dimiliki oleh setiap individu. Hal ini bermakna setiap keluarga hanya akan menikmati harga yang rendah berdasarkan maksimum dua buah kereta dan sebuah motosikal bagi setiap keluarga.

Sewajarnya semakan harga yang dicadangkan dinilai bersama-sama tingkat pendapatan penggunanya berserta isian kebuk kenderaan yang digunakan. Mungkin dalam jangka panjang kriteria jarak perjalanan yang mewakili keperluan perjalanan dan penggunaan dimasukan sebagai pemboleh ubah penetapan harga petrol.

Cara ini dilihat lebih praktikal dan efisien dalam mewujudkan kelestarian penggunaan bahan bakar dan merupakan mekanisme menang-menang dalam membantu menyetarakan beban kewangan rakyat dengan golongan berpendapatan tinggi membantu golongan berpendapatan rendah.




http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Friday/Nasional/20080814235133/Article/

No comments: